Monday, February 13, 2017

Al-Quran Qalam Teragung

Bismillah...

Saya sebenarnya nak berkongsi tentang satu cerita mengenai hidayah yang saya temui di Surau Al-Hidayah, Teluk Kachang. Lebih kurang 2 tahun lepas saya tergerak hati untuk mencari kelas al-quran dan perbaiki bacaan tajwid. Yala, kita mungkin biasa membaca saja Al-Quran dan kadang-kadang kita terlupa bahawa bacaan tartil iaitu bacaan yang sempurna dengan tajwidnya.

Masa tu saya cuba usulkan di dalam FB saya.  Lebih kurang 2, 3 bulan selepas itu, saya dijemput oleh Pengerusi surau tu untuk join kelas tajwid di situ.  Mulanya saya rasa segan jugakla nak ke surau tu. Mana taknya, surau tu jauh dari kampung saya dan saya pun tak kenal dengan jemaah di surau tu ketika itu.  Hinggalah saya beranikan diri untuk menegur para jemaah dan alhamdulillah, saya diterima baik oleh jemaah di situ.  Kali pertama saya jejak kaki ke situ masa ada program Majlis Cinta Rasul di perkarangan surau tu yang mana Bob Lokman dijemput untuk berkongsi cerita penghijrahannya ke jalan ALLAH.

Terharu bila saya melangkah ke surau yang sangat uzur.  Hati saya berdoa moga ada pihak dapat membantu untuk pembinaan surau itu.  Alhamdulillah, rupanya ALLAH lebih tahu yang saya akan memberi bantuan di situ.  Walaupun jumlahnya tidaklah banyak mana tetapi saya seolah-olah dipilih untuk membantu usaha-usaha untuk merealisasikan impian para jemaah di situ.  

Bermula daripada Surah Al-Fatihah, kami sama-sama diajar bacaan secara talaqqi dengan sanad-sanad yang diberikan oleh guru yang memimpin bacaan kami iaitu Ustaz Hj Abdul Hamid bin Ismail. Banyak ilmu yang saya pelajari bukan sahaja ilmu tajwid tetapi sejarah sesebuah ayat itu diturunkan di mana ustaz turut menterjemahkan ayat-ayat yang dibaca dengan lebih jelas dan mudah difahami.

Alhamdulillah, Al-Quran telah membuatkan saya semakin mendekatiNYA. Apa yang saya amalkan adalah cari masa  sekurang-kurangnya pada waktu selepas Subuh atau selepas Maghrib untuk membaca Al-Quran.  Memang kita ingat kita sudah pandai baca Al-Quran, jadi kita tidak perlu mengaji tetapi sebenarnya kita perlu tahu sama ada betul atau tidak bacaan kita dari segi tajwid, makhraj dan sebagainya.  Selain itu kita boleh belajar cara bacaan secara tarannum seperti tarannum bayati husaini, hijjaz,sikah,nahwand dan sebagainya.

Kepada orang-orang Perlis, jomlah ikut saya ke Kelas Pemahaman Al-Quran dan Tajwid setiap Rabu selepas Maghrib di Surau Al-Hidayah Teluk Kachang, Kangar, Perlis. Sama-samalah kita belajar ilmu daripada Qalam ALLAH SWT yang mana Al-Quran ini bakal menjadi syafaat buat kita di akhirat nanti.

Wallahua'lam.



No comments:

Post a Comment